Usaha melindungi hutan bakau di Asia Tenggara sebagai sumber kredit karbon boleh terjejas jika harga karbon tidak cukup tinggi.
Demikian berdasarkan cadangan satu kajian terkini.
Ini kerana membersihkan hutan bakau untuk pengeluaran komoditi – mengubahnya menjadi ladang kelapa sawit, sawah padi atau kolam akuakultur – lebih menguntungkan daripada bergantung kepada hasil daripada kredit karbon berdasarkan harga semasa.
Di samping itu, ia juga boleh meningkatkan risiko penukaran tanah dalam tempoh 25 tahun akan datang, lapor The Straits Times.
Secara keseluruhan, sekitar 1.3 juta hektar hutan bakau di Asia Tenggara – kira-kira 18 kali ganda saiz Singapura – berada dalam bahaya dijadikan bahan komoditi, berdasarkan analisis yang diketuai oleh seorang calon Doktor Falsafah Universiti Queensland, Cik Valerie Kwan.
Ia adalah sekitar 63 peratus daripada jumlah kawasan bakau di Asia Tenggara yang boleh membekalkan kredit karbon kepada pasaran karbon sejagat.
Projek kredit karbon berasaskan alam semula jadi memastikan hutan atau bakau yang berisiko ditebang dapat kekal hidup.